Assalamualaikum.
Kali ini, saya tertarik untuk membincangkan isu semasa. Di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, menjadi liputan sejarah bangsa melayu bangsa berdaulat, bangsa bertamadun, bangsa beradat - SULTAN MIZAN DISAMBUT PENUH ADAT ISTIHADAT.
Sultan Mizan disambut penuh adat istiadat
KUALA LUMPUR 13 Dis. – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah diberi sambutan penuh adat istiadat di medan Parlimen di sini pagi ini, sebelum menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Ketibaan baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di Parlimen pada pukul 10.30 pagi dengan iringan tiupan nafiri oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Baginda berdua diiringi ke peterana melalui pasukan kawalan tombak dan diikuti dengan tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan yang menyembahkan Hormat Diraja, diikuti dengan lagu Negaraku oleh pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Zailani Mohd. Okhtat.
Serentak dengan itu bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam kehormatan 21 das.
Sultan Mizan, 44, dipilih oleh raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-208 di Istana Negara pada 3 November lepas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa mulai hari ini.
Pada mesyuarat itu, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.
Baginda sebelum ini adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 12 Januari 1970 hingga 20 September 1975.
Pada majlis sambutan penuh adat istiadat di medan Parlimen, Sultan Mizan turut memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota 1 RAMD diketuai Mejar Mohd. Fuad Md. Ghazali.
Majlis kemudian diikuti dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, disusuli dengan tabik Hormat Diraja serta lagu Negaraku sekali lagi.
Seri Paduka berdua kemudian berangkat untuk menerima menghadap menteri-menteri Kabinet, ketua-ketua jabatan serta diplomat asing dengan diiringi oleh Abdullah dan menteri pengiring, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.
Di Terengganu, keberangkatan Sultan Mizan ke Kuala Lumpur diadakan dengan penuh adat istiadat di Istana Maziah, Kuala Terengganu.
Baginda turut memeriksa kawalan kehormatan utama Kor Armor Diraja yang terdiri daripada 120 pegawai dan anggota diketuai oleh Mejar Mohd. Sabri Abas dan disusuli dengan mempersembahkan Hormat Diraja dan lagu Selamat Sultan.
Keberangkatan baginda berdua ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu untuk berlepas ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas diiringi oleh Abdullah dan isteri, Datin Wan Naimah Wan Latiff serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan isteri, Datin Seri Che Kamariah Zakaria.
Sebelum berlepas Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya membaca doa.
Kesemua empat putera dan puteri baginda terdiri daripada Tengku Nadhirah Zahrah, 10, Tengku Muhammad Ismail, 8, Tengku Muhammad Mua’az, 6, dan Tengku Fatimatuz Zahra’, 4, turut serta dalam rombongan itu.
Semalam, Tengku Muhammad Ismail, 8, dilantik Pemangku Sultan.
– Bernama
p/s Kenali budaya, kenali bangsa.. kenali bangsa, kenali diri.
wassalam.
No comments:
Post a Comment